Memaparkan catatan dengan label Tazkirah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Tazkirah. Papar semua catatan

Khamis, 5 April 2012


RASULULLAH MENCONTOHKAN SIFAT SABAR TERHADAP KARENAH ISTERI
Di dalam buku Purnama Madinah karya Ibn Saad, Bandung , Mizan 1997, muka surat 173, ada tercatat sebuah hadis yang berbunyi, Umar pernah berkata, "Ya Rasul, mahukah engkau mendengar aduan saya? Kami kaum Quraisy biasa menguasai isteri kami.
Kemudian kami pindah ke sebuah masyarakat (Madinah) di mana lelaki tunduk diam pada isteri mereka. Kemudian kaum perempuan kami meniru perilaku perempuan Ansar ini.
Suatu hari saya menegur isteri saya dan dia menjawab balas. Saya tidak menyukai perilaku seperti itu. Dan dia berkata, 'Apakah kanda tidak menyukai dinda menjawab? Demi Allah, para isteri Rasullullah menjawab balas baginda.
Sebahagian mereka mendiamkan baginda sepanjang hari sampai malam.' Saya (Umar) lalu berkata, 'Dia rugi. Apakah dia merasa aman dari kemurkaan Allah kerana kemarahan Rasulnya sehingga dia mendapat hukuman?'" Nabi tersenyum dan tidak menjawab aduan daripada Sayidina Umar itu. (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Rasulullah SAW tidak mengiyakan ataupun menidakkan perkataan Umar. Isteri juga mempunyai suara dan pendapat yang harus didengari suami. (Cuma perbincangannya haruslah dengan hikmah). Al-Hafizh Ibnu Hajar berkata, "Dari hadis tersebut dapat diambil pelajaran bahawa terlalu keras terhadap isteri bukanlah sikap yang terpuji. Sebab, Rasulullah SAW sendiri meniru sikap orang  Ansar dalam memperlakukan wanita mereka dan meninggalkan sikap kaum baginda  sendiri."
UMAR MENCONTOHI KESABARAN RASULULLAH TERHADAP LETERAN ISTERI
Seorang lelaki datang ke rumah Umar bagi mengadu perihal isterinya yang suka berleter. Tatkala sampai, dia mendengar Umar sedang dileteri isterinya. Umar tidak menjawab sepatah pun. Lelaki itu beredar sambil berkata,"Kalau beginilah keadaan Umar, seorang Amirul Mukminin yang selalu keras dan tegas, maka bagaimana pula dengan aku?"

Selepas itu Umar keluar dari rumahnya lalu terlihat lelaki tadi beredar. Umar memanggilnya dan bertanya tujuan kedatangannya. Lelaki itu berkata,
"Wahai Amirul mukminin,tujuan kedatanganku adalah untuk mengadu berkenaan perangai buruk isteriku yang suka berleter. Tadi aku baru sahaja mendengar isterimu juga begitu. Lalu aku berkata kepada diriku, kalau begini keadaan Amirulmukminin dengan isterinya, maka bagaimana dengan aku?"
Umarpun berkata kepadanya,"Wahai saudaraku! Sesungguhnya aku bersabar mendengar leterannya kerana dia mempunyai hak ke atasku. Sesungguhnya dia memasak makanan untukku, mengadun roti untukku, membasuh pakaianku dan menyusui anakku, padahal semua itu tidak diwajibkan ke atasnya. Dia juga menenangkan hatiku daripada melakukan perbuatan yang haram (zina). Sebab itulah aku bersabar dengan kerenahnya.
Lelaki itu menjawab,"Wahai Amirul mukminin, demikian jugalah isteriku."
Umar berkata,
"Maka bersabarlah wahai saudaraku. Sesungguhnya kerenahnya tidak lama. Hanya seketika sahaja."
Rasulullah SAW sendiri telah mengingatkan,
"Janganlah seseorang yang beriman (lelaki) membenci seorang (isterinya yang) beriman (perempuan), kerana walaupun ada satu perangainya yang lelaki itu tidak suka, tetapi (tentu) ada lain perangainya yang dia suka."(Riwayat Muslim dan Ahmad).

Sebagai seorang manusia biasa, kita tidak akan dapat lari daripada bebanan dan ujian. Kerap kali kita dilanda ujian dengan rasa sedih dan dukacita, rasa lemah dan malas, rasa kedekut dan penakut, bebanan hutang dan tekanan daripada penindasan orang.

Siapakah yang akan bersedia menjadi 'teman' buat kita kongsikan dugaan dan ujian yang menguja empunya diri ini dari hari ke hari? Mungkin untuk tempoh yang panjang ?
Kesediaan manusia terbatas, kesabaran manusia terhad, kemurahan manusia bersempadan dan kita amat memerlukan bantuan yang berpanjangan serta mungkin di luar kemampuan manusia biasa.
Rasulullah saw mengajar kita agar sentiasa mendambakan diri hanya kepadaNya semata-mata. KepadaNya kita menghambakan diri dan kepadaNya jua kita memohon segala pertolongan.
"Ya Allah, aku berlindung denganMu daripada dukacita dan rasa sedih; aku berlindung denganMu daripada lemah dan malas; aku berlindung denganMu daripada sifat pengecut dan bakhil; dan aku berlindung denganMu daripada bebanan hutang dan penindasan orang."
Kisahnya,
Pada suatu hari Rasulullah SAW masuk ke masjid lalu terserempak seorang yang dipanggil Abu Umamah. Rasulullah SAW bersabda kepadanya: "Wahai Abu Umamah, aku lihat engkau duduk di masjid bukan pada waktu solat, kenapa?" Jawab Abu Umamah: "Dukacita dan hutang menyelubungiku, wahai Rasulullah!"
Jawab Rasulullah: "Mahukah kamu aku ajarkan suatu bacaan jika kamu membacanya Allah akan menghilangkan rasa dukacitamu dan melangsaikan hutangmu." Abu Umamah menjawab: "Ya, wahai Rasulullah." Baginda bersabda: "Apabila tiba waktu pada dan petang bacalah: اللهم إني أعوذ بك من الهم والحزن... (Doa di atas). Kata Abu Umamah: "Aku membaca doa tersebut, lalu Allah menghilangkan rasa dukacitaku dan melangsaikan hutangku."(Riwayat Abu Daud daripada Abu Said al-Khudri).

Ada baiknya kita beramal dengan doa ini pada setiap pagi atau petang agar terbina keakraban hubungan dengan Allah swt. Doa ini adalah sebahagian daripada 'Al-Ma'thurat', yang bermaksud amalan wirid, zikir dan doa yang berteraskan al-Quran dan al-Sunnah yang diamalkan oleh Nabi SAW dan dikumpulkan oleh al-Imam al-Syahid Hassan Al-Banna untuk menjadi manusia soleh.
Tanpa hubungan yang akrab dengan Allah jiwa kita akan menjadi keluh kesah kerana tiada kedamaian. Benarlah kata-kata Syeikhul Islam dalam al-Kalimuttayyib: "Tanpa zikrullah secara istiqamah, diri itu umpama ikan yang tercampak keluar dari airnya."
Mari kita ingati akan janji Allah swt di dalam al Quran yang bermaksud,
" ... Barangsiapa bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan membukakan jalan keluar bagiNya, dan Dia memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan barangsiapa bertawakkal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusanNya. Sungguh, Allah telah mengadakan ketentuan bagi setiap sesuatu." ( Surah At-Talaq, 65: 2-3)
Selamat beramal....